Nama kerajaan PN wajar dipertahan - Utusan Malaysia

Nama kerajaan PN wajar dipertahan

MOHD. Redzuan Yusof (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk yang terjejas dalam tragedi kepala air di Kampung Permatang Keramat, Yan. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Penggunaan nama kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar dipertahankan dan tidak perlu dijadikan sebagai modal cakap-cakap politik oleh pihak tertentu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, secara logiknya ketika ini wakil rakyat gabungan PN lebih besar berbanding dimiliki Barisan Nasional (BN).

“Saya tahu mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berhubung perkara ini. Itu mungkin pendapat mereka.

“Tetapi secara logiknya kalau kita lihat hari ini, wakil-wakil rakyat gabungan PN lebih besar daripada BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa tragedi kepala air di Kampung Permatang Keramat, Yan dekat sini hari ini.

Ahmad Maslan menerusi laman Facebooknya semalam berpandangan, kerajaan baharu yang dibentuk kini bukanlah kerajaan PN sebaliknya ‘kerajaan Malaysia’ yang dianggotai parti-parti Barisan Nasional (BN), PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sementara itu, Abdul Rahman pula menerusi status yang turut dimuat naik di Facebook turut menyifatkan jenama PN sebagai kerajaan Persekutuan telah berakhir semalam dengan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Mohd. Redzuan menambah, beliau mengharapkan supaya pendekatan tanpa mengira parti dapat diterapkan dalam pembentukan kerajaan kali ini.

“Itu bererti kita mengutamakan kerjasama antara satu sama lain. Siapa berkebolehan untuk membantu secara langsung atau tidak, mereka boleh tampil ke depan dan itu tidak seharusnya dilihat sebagai satu masalah,” katanya.

Sementara itu katanya, soal pembentukan Kabinet turut tidak perlu diperdebatkan dengan perkara itu terpulang kepada pertimbangan Perdana Menteri.

“Terpulang kepada Perdana Menteri untuk membentuk Kabinet yang boleh menstabilkan keadaan politik, untuk kita sama-sama bekerja. Yang penting, pandemik Covid-19 ini dapat kita uruskan dengan baik dan ekonomi dibangunkan semula,” katanya.

Beliau dalam pada itu enggan mengulas ketika ditanya sama ada wajar Bersatu diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri setelah Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘mengorbankan’ jawatan Perdana Menteri.

“Itu saya tak mahu komen. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti kerana kita tahu Presiden parti ini orang yang bijak dan beliau tentu tahu ke mana arah tuju parti serta negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.