Najib, UMNO dapat balik wang RM114 juta yang disita - Utusan Malaysia

Najib, UMNO dapat balik wang RM114 juta yang disita

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO sudah menerima kembali wang berjumlah RM114 juta yang disita dari Pavilion Residences, milik Obyu Holdings Sdn. Bhd.

Memetik laporan Malaysiakini, perkara itu disahkan oleh peguam bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bahawa wang itu telah dikeluarkan dan diterima oleh kedua-dua pihak.

Difahamkan, kesemua aset itu diserahkan kepada bekas Perdana Menteri dan UMNO pada 17 Jun lalu.

Difahamkan, pemulangan itu dilakukan selepas pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan melucut hak wang tunai bernilai jutaan ringgit itu kepada kerajaan.

Pada 20 Mei lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya tidak membuat sebarang perintah sama ada ia dikembalikan kepada pemilik atau disimpan oleh kerajaan.

“Apabila permohonan lucut hak ditolak, tiada keperluan bagi saya untuk memulangkan wang itu kepada sesiapapun,” jelas Hakim Muhammad Jamil yang turut menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan keputusan bagi memfailkan rayuan.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.

Ia sebahagian daripada wang tunai, barang kemas dan aset lain bernilai RM680 juta yang disita daripada kondominium di Pavilion Residences, Kuala Lumpur milik Obyu Holdings Sdn. Bhd. pada 2018.

Obyu Holdings adalah defendan tunggal dalam saman lucut hak utama berkaitan 1MDB. Bagaimanapun, UMNO dan Najib menjadi pihak ketiga yang menuntut pemulangan wang RM114 juta itu.

Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya