Musim petai tambah pendapatan Orang Asli di Rembau

Musim petai tambah pendapatan Orang Asli

INAK Wet (kiri) mengikat petai yang dipetik di dalam hutan untuk dijual kepada peraih di Kampung Orang Asli Chuai, Rembau, Negeri Sembilan, semalam. - FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Ketika musim durian yang belum berakhir, penduduk Kampung Orang Asli Chuai dekat sini sekali lagi tersenyum lebar apabila tiba pula musim petai.

Seorang wanita yang juga pencari petai di kampung itu, Inak Wet, 57, berkata, permintaan terhadap petai agak tinggi sejak dua minggu lalu.

Jelasnya, dia dan penduduk kampung kini tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan daripada peraih sehingga 4,000 tangkai petai se­minggu.

“Saya dan anak-anak dibantu keluarga lain turut mencari petai di dusun bukit untuk dijual kepada peraih. Sejak musim petai tiba, saya tidak menang tangan sehinggakan terpaksa mengehadkan jualan kepada tiga orang peraih sahaja.

“Kami menjual petai mengikut gred namun kadang kala saya turut menjual petai mengikut papan iaitu sebanyak 100 papan dengan harga RM45 sehingga RM60. Setiap minggu saya akan mendaki sejauh tiga kilometer ke dusun seluas lima ekar bagi mencari petai,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Orang Asli Chuai, dekat sini semalam.

Menurutnya, dijangka pada Ogos sehingga September, kampung tersebut mula mengeluarkan hasil petai yang banyak dan ia sekali gus mampu menambah pendapatan kepada penduduk.

“Terdapat kira-kira 200 ba­tang pokok yang telah ditanam oleh nenek moyang kami dahulu dan kini kami mendapat hasil untuk dijual kepada peraih yang datang.

“Kebanyakan peraih tidak putus-putus menghubungi saya melalui aplikasi WhatsApp untuk membuat tempahan petai,” katanya.

Jelas Inak, aktiviti ekonomi kebanyakan penduduk di kampung tersebut hanyalah sebagai penoreh getah.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang tidak keluar bekerja dan penduduk kampung ini memanfaatkan peluang dengan menjual hasil kebun durian dan petai.

“Saya hanya menerima tem­pahan secara borong bagi memudahkan saya ke kebun untuk memanjat pokok bersama anak-anak bagi mendapatkan petai yang baik sebelum dijual,” katanya.

Tambahnya, selain menjual petai secara borong, dia turut berniaga petai tempoyak kepada orang ramai yang berminat.

Dia yang sebelum ini meng­usahakan jualan kraftangan memberitahu terpaksa mencari peluang lain bagi menampung perbelanjaan keluarganya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya