PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta kerajaan negeri Kedah serta agensi-agensi berkaitan menggerakkan segera semua bentuk bantuan kepada penduduk yang terlibat dalam kejadian banjir kilat di Yan, Kedah.
Perdana Menteri sementara itu berkata, keselamatan dan bekalan makanan antara perkara yang perlu menjadi keutamaan bantuan pada masa kini.
“Saya mengikuti secara dekat bencana banjir kilat yang melanda beberapa buah kampung di daerah Yan, Kedah dipercayai kesan daripada fenomena kepala air yang bermula di Gunung Jerai.
“Saya berharap kerajaan negeri Kedah serta agensi-agensi berkaitan dapat menggerakkan segera semua bentuk bantuan kepada penduduk di kampung-kampung yang terlibat dalam bencana ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut difahamkan bahawa petugas seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Pertahanan Awam (APM) telah melakukan operasi menyelamat dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan bencana terjamin.
“Semoga tugas-tugas pasukan keselamatan ini dipermudah manakala penduduk yang terjejas serta terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara disediakan bantuan dan perlindungan sewajarnya, dengan selamat dan teratur terutamanya ketika dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.
Setakat ini Tiga mangsa ditemukan maut di beberapa lokasi di sekitar kawasan Gunung Jerai di Yan, yang dilanda banjir susulan fenomena kepala air pada petang Rabu. – UTUSAN ONLINE










