KUALA LUMPUR: Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan mesyuarat tergempar pada petang ini adalah hanya satu mesyuarat pengurusan parti.
Beliau berkata, mesyuarat itu berlangsung selama sejam.
“Saya mempengerusikan mesyuarat pengurusan parti.
“Lepas ini saya balik rumah makan goreng pisang,” katanya sambil berseloroh kepada pemberita di pekarangan rumah Perdana Menteri, Bukit Damansara, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan satu mesyuarat Kabinet tergempar akan berlangsung petang ini, ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin difahamkan sudah hilang majoriti.
Dalam pada itu, sebuah kereta dipercayai membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dilihat masuk ke pekarangan tersebut pada pukul 5.40 petang.
Pergerakan masuk kenderaan itu disusuli pergerakan keluar sebuah kenderaan yang dipercayai membawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Pergerakan keluar Faizal dari pekarangan rumah Perdana Menteri kira-kira 5.50 petang itu diikuti Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. – UTUSAN