Menangi semula mandat rakyat, gesa Anwar kepada rakan pembangkang - Utusan Malaysia

Menangi semula mandat rakyat, gesa Anwar kepada rakan pembangkang

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan sebagai satu cabaran kepada pembangkang untuk bekerja lebih gigih menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pembangkang itu berkata, usaha tersebut supaya pembangkang dapat memenangi semula mandat rakyat yang diperoleh pada pilihan raya umum lalu.

“Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Covid-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat.

“Buat semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU-15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada pilihan raya mum yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri  baharu.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan selepas Majlis Raja-Raja Melayu selesai mengadakan mesyuarat khas semalam.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, pembangkang menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di atas pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Kami mengambil maklum bahawa keputusan ini dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang kita amalkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN