Melaka cadang sistem biometrik pantau pekerja asing

Melaka cadang sistem biometrik pantau pekerja asing

ISMAIL Othman menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima program Kongsi Rezeki secara pandu lalu di Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penggunaan sistem biometrik bagi memantau pergerakan pekerja asing di kawasan penginapan dapat memberikan maklumat lebih tepat berbanding penggunaan buku log, sekaligus membantu mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Ismail Othman berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat selanjutnya bagi mengatasi masalah warga asing yang dilihat kerap berpeleseran di kawasan komuniti.

Menurut beliau, semua rumah penginapan pekerja asing juga harus berpagar dan berpengawal.

“Mereka tidak boleh hidup dalam masyarakat kerana datang daripada pelbagai negara dan budaya. Sebab itu saya bimbang sekiranya tidak dipantau, mereka boleh menjangkiti komuniti di Melaka.

“Jumlah pekerja asing yang diberhentikan pada Julai berjumlah lebih 4,000 orang dan bila saya tanya ke mana mereka pergi, tiada siapa yang tahu. Ada yang mengatakan mereka diambil bekerja oleh majikan lain dan ada yang berpindah untuk mencari rezeki lain.

“Justeru, saya mahu melihat pekerja-pekerja asing ini teratur serta terkawal. Kalau boleh segala pergerakan masuk dan keluar dari tempat penginapan dipantau dan diperketatkan melalui sistem biometrik,” katanya kepada pemberita pada Program Kongsi Rezeki di Menara Persekutuan, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka, Dr. Rabaayah Daud.

Terdahulu, Ismail menyampaikan sumbangan kepada 60 penerima secara pandu lalu anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Sukan JKKP Melaka.

Sementara itu, mengenai pematuhan majikan terhadap kawasan penginapan pekerja, Ismail berkata, lebih 50 peratus majikan masih tidak mematuhi arahan kerajaan.

Jelasnya, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 6,067 tempat penginapan telah diperiksa, tetapi hanya 2,569 yang didapati patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN