Vaksin belum 50%, Melaka belum boleh buka 11 sektor ekonomi

Vaksin belum 50 peratus, Melaka belum boleh buka 11 sektor ekonomi

MOHD. NASRUL MENHAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri mengumumkan Melaka masih belum dibenarkan untuk membuka 11 sektor ekonomi yang diberi kelonggaran bermula, hari ini.

Pengarahnya, Mohd. Nasrul Menhat berkata, ia berikutan kadar suntikan dos kedua di negeri ini belum melepasi kadar 50 peratus mengikut syarat indikator ditetapkan. 

Jelasnya, setakat ini Melaka baru mencapai 39.1 peratus bagi suntikan lengkap dos kedua. 

“Kemudahan pembukaan 11 sektor ekonomi yang diumumkan sebelum ini oleh kerajaan Pusat hanya diberikan kepada negeri yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 50 peratus.  

“Bagi suntikan dos pertama, Melaka telahpun melepasi kadar melebihi 50 peratus, namun yang lengkap dos kedua kita baru mencapai 39.1 peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri bagaimanapun menyasarkan semua kemudahan tersebut akan dapat dinikmati penduduk pada hujung bulan ini. 

“Seperti dimaklumkan oleh exco negeri baru-baru ini, kita jangka dapat mencecah kadar 50 peratus tersebut pada hujung bulan ini walaupun masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan bersetuju memberikan kemudahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran melibatkan 11 jenis aktiviti ekonomi yang dibenarkan kembali beroperasi di negeri-negeri Fasa 1 PPN berkuatkuasa, hari ini.

Kemudahan sektor ekonomi itu adalah tambahan kepada kemudahan sektor sosial kepada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Antaranya termasuklah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai perabot, kedai peralatan sukan, pasar pagi dan pasar tani sahaja, kedai pakaian, kedai barang kemas, kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN