MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menerusi Zon Maritim Mersing membantu membawa keluar tiga pesakit Covid-19 dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar, di sini semalam.
Pengarah Maritim Malaysia negeri, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bantuan melalui operasi pemindahan perubatan (Medevac) itu dilakukan selepas pihaknya dihubungi Pejabat Daerah Mersing bagi bantuan membawa penduduk ke Hospital Mersing.
“Susulan itu, Bot Perkasa 31 Zon Maritim Mersing bersama lima anggota Maritim Malaysia lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) telah ke Pulau Aur bagi melaksanakan khidmat Medevac itu.
“Perkasa 31 tiba di lokasi sekitar pukul 3.30 petang dan terus memindahkan tiga pesakit wanita yang berusia 15 hingga 77 tahun untuk dibawa ke Jeti Syahbandar.
“Perjalanan dari Pulau Aur ke Jeti Syahbandar mengambil masa kira-kira dua jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nurul Hizam, kesemua pesakit kemudian terus dipindahkan ke ambulans untuk ke Hospital Mersing bagi rawatan lanjut sebaik sahaja tiba di jeti berkenaan.
Jelasnya, anggota Maritim Malaysia yang bertugas dan Bot Perkasa 31 kemudiannya turut disanitasi dengan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam misi bantuan ini,” katanya.










