Mangsa samun stabil selepas bedah buang tangan - Utusan Malaysia

Mangsa samun stabil selepas bedah buang tangan

KEADAAN Siti Nur Azizah Syafriadi selepas motosikal dibonceng bersama kekasihnya disamun sebelum dilarikan tiga lelaki di Jalan Kuching, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembedahan membuang tangan mangsa samun motosikal, Siti Nur Azizah Syafriadi sudah selesai dan berjalan lancar. 

Abang saudara mangsa, Muhammad Khairul Azhar berkata, keadaan remaja berusia 17 tahun itu stabil dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Doktor memaklumkan dia stabil cuma belum sedar. Mungkin akan sedar dalam masa terdekat ini, tidak pasti bila. 

“Terima kasih sebab saudara dan saudari mendoakannya,” katanya melalui Facebook miliknya hari ini. 

Dalam pada itu, Muhammad Khairul  mengucapkan terima kasih atas sumbangan dihulurkan orang ramai yang dapat membantunya menampung  bil rawatan dan hospital. 

Ujarnya, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ditanggung keluarga Siti Nur Azizah. 

“Semoga Allah membalas jasa baik saudara dan saudari semua. Kita doakan yang terbaik buat adik Azizah,” katanya. 

Muhammad Khairul Anwar berharap polis dapat memberkas suspek-suspek berkenaan.

Semalam, media melaporkan tangan kanan Siti Nur Azizah terpaksa dipotong sehingga paras bahu kerana cedera parah dan mulai membiru.

Dilaporkan, doktor tidak dapat menyelamatkan tangan kanannya  yang sudah tidak boleh berfungsi walaupun saluran darah utama dijahit.

Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan, sepasang kekasih menaiki motosikal cedera selepas dipercayai diserang serta disamun tiga lelaki di Jalan Kuching menghala ke Jinjang dalam kejadian 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, ketika kejadian, mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal RS150 warna kelabu sebelum menarik tangan mangsa.

“Suspek kemudian melibas mangga rantai motosikal pada bahagian belakang topi keledar dipakai mangsa.

“Mangsa kemudian membuat pusingan dari Jalan Kuching menghala ke pusat bandar, namun sekali lagi dihimpit motosikal sama dan suspek menendang motosikalnya sehingga menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan sebelum motosikal turut dilarikan suspek,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN