PUTRAJAYA: Pulau peranginan utama yang menjadi projek perintis gelembung destinasi pelancongan, Pulau Langkawi dijangka berjaya mencapai tahap imuniti kelompok pada hujung bulan ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah keseluruhan penduduk yang lengkap menerima vaksin dos pertama dan kedua adalah seramai 88,137 daripada keseluruhan 108,400 penduduknya.
“Sehingga 22 Julai lalu, jumlah penduduk yang menerima dos pertama adalah seramai 61,815 orang atau 80.9 peratus.
“Bagi penduduk yang menerima dos kedua pula adalah berjumlah 26,322 orang atau 34.5 peratus sehingga 26 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nancy berkata, pihak kementerian menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri bahawa kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pemegang taruh berhubung perancangan menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.
Beliau yakin langkah itu dibuat sebagai pertimbangan berdasarkan tiga aspek utama, iaitu kesihatan dan keselamatan rakyat, ekonomi rakyat dan kelangsungan perniagaan serta kesejahteraan rakyat.
“Perkara ini perlu mengambil kira keseimbangan melibatkan ketiga-tiga aspek tersebut dan diteliti bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu yang boleh menyebabkan penutupan semula aktiviti pelancongan sekali gus menjejaskan keseluruhan rantaian terlibat,” katanya.










