Lagu Ziana Zain tenangkan penerima vaksin OKU - Utusan Malaysia

Lagu Ziana Zain tenangkan penerima vaksin OKU

ARIYANTI Abdul Samad selesai mendapatkan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin, Johor. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bagi mengurangkan rasa takut untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) mendengar lagu denda­ngan penyanyi Ziana Zain untuk menenangkan dirinya.

Ariyanti Abdul Samad, 37, seorang OKU sindrom down berbuat demikian kerana penyanyi wanita popular itu adalah penyanyi ke­sayangannya.

Kakaknya, Azlina, 46, berkata, dia memasang lagu-lagu Ziana Zain sejak mereka keluar dari rumah di Senai untuk janji temu suntikan vaksin berkenaan.

“Adik saya memang suka lagu Ziana Zain, jadi saya pasang lagu nyanyian penyanyi itu sepanjang perjalanan ke pusat vaksin untuk adik rasa tenang.

“Proses menerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu ini sangat mudah dan lancar apabila petugas-petugas­nya cekap mengendalikan individu OKU,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini semalam.

Azlina berkata, walaupun Ar­yanti berasa gementar namun dia memberi kerjasama kepada petugas di PPV berkenaan.

Sementara itu, L. Mohana, 31, pula berkata, pembukaan PPV pandu lalu khusus buat individu sepertinya adalah bersesuaian dalam memastikan OKU turut diberi perlindungan daripada wabak Covid-19.

“Biasalah mula-mula memang berasa sedikit gemuruh, itu normal tetapi selepas disuntik saya berasa lega kerana proses me­nerima vaksin selesai.

“Saya harap PPV pandu lalu seperti ini diperluas di lokasi lain bagi memudahkan golongan OKU seperti kami,” katanya yang kehilangan tangan kiri sejak 2014 selepas diserang kanser tulang.

Sementara itu, Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi berkata, majoriti OKU tidak takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana mereka menyedari ia adalah satu bentuk ikhtiar hidup dalam melawan wabak berkenaan.

Malah kata beliau, rata-rata daripada mereka juga telah biasa menerima ubatan termasuklah dalam bentuk suntikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN