ISKANDAR PUTERI: Pengurangan kutipan hasil lesen direkodkan semua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) disebabkan beberapa langkah pengecualian yang dilaksanakan untuk membantu rakyat ketika pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, pengecualian itu termasuk bayaran lesen penjaja pada tahun lalu dan bayaran lesen penjaja serta peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tahun ini.
Katanya, dianggarkan terdapat 50 jenis lesen yang diguna pakai di PBT seluruh Johor.
“Pada 2020, jumlah kutipan hasil lesen PBT Johor adalah sebanyak RM64,029,472.91 manakala kutipan hasil lesen bagi tahun ini sehingga 31 Julai lalu adalah sebanyak RM 32,902,589.71.
“Penurunan kutipan hasil lesen di PBT Johor disebabkan pengecualian bayaran lesen penjaja pada tahun 2020 dan pengecualian bayaran lesen penjaja dan peniaga PKS pada tahun ini.
“Selain itu, PBT juga tidak mengenakan sebarang denda lewat atau kompaun kepada mana-mana peniaga yang lewat atau gagal memperbaharui lesen dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chew Chong Sin (DAP-Mengkibol) berhubung kutipan bayaran lesen perniagaan di semua PBT Johor bagi tahun 2020 dan 2021 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar, hari ini. – UTUSAN ONLINE