fbpx

25 September 2021, 4:29 pm

  TERKINI

Krisis air Terengganu 2.0 berlarutan 20 hari lagi

ANTARA enam penyelam Syarikat Sumai Engineering yang ditugaskan memeriksa paip patah di dasar Sungai Terengganu di Pulau Sekati, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 157,850 penduduk di sebahagian daerah ini dan Kuala Nerus terpaksa menanggung sengsara terputus bekalan air hingga 12 September depan susulan Krisis Air Berangan 2.0.

Gangguan bekalan air buat kali kedua itu disifatkan lebih buruk berbanding krisis pertama pada 2 Ogos lalu berikutan paip dasar Sungai Tangki Berangan yang patah.

Kejadian terbaharu itu sekali gus mengundang kemarahan 28,700 pengguna akaun Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) kerana berlaku selang 10 hari selepas bekalan kembali pulih.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, kerja-kerja pembaikan memerlukan masa lebih panjang sehingga 20 hari untuk disiapkan bagi meneliti kaedah paling berkesan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati punca kerosakan disebabkan kejadian luar jangka semasa kerja-kerja pasca pembaikan paip bersaiz 1,200 milimeter itu.

“Berdasarkan penilaian sebelum ini, kita tidak menemukan apa-apa keretakan pada salutan simen paip di jajaran Tangki Berangan itu malah, kerosakan terdahulu yang terletak pada jarak 24 meter darinya juga masih kukuh.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan Satu, saya memohon maaf dan berdukacita atas krisis air berulang yang membantutkan kegiatan ekonomi serta aktiviti rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Yang hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Satu, Burhanudin Hilmi [email protected]

Mamad berkata, kerajaan negeri akan mencari kaedah terbaik untuk mengatasi krisis itu di samping berusaha mengaktifkan segera Loji Bukit Berapit pada bulan depan berbanding jadual asal pada Mei 2022.

Katanya, pengoperasian loji baharu itu mampu menyalurkan bekalan air sebanyak 60 juta meter padu sehari kepada 28,700 isi rumah terlibat.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 19 lori bergerak di samping empat lori jumbo berkapasiti sekurang-kurangnya 38,000 liter air disediakan kepada pengguna terjejas di samping lebih 200 tangki statik dan 86 pili paip.

INFOGRAFIK
——————–

-Krisis air Berangan 1.0 : 2 hingga 13 Ogos 2021 (12 hari)
(kerosakan: paip yang pecah)

-Krisis air Berangan 2.0 : 23 Ogos hingga 12 September (20 hari)
(kerosakan: dua batang paip patah di kedudukan 24 meter dari lokasi awal paip pecah)

-Melibatkan 28,700 pengguna akaun di Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu atau bersamaaan 157,850 penduduk.

-Kawasan yang terjejas ialah sebahagian Kuala Terengganu di Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara.

-Kuala Nerus pula membabitkan keseluruhan Gong Badak, kawasan perindustrian Gong Badak, Alor Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tepoh, Padang Hangus, Pagar Ubi, Bukit Sudu, Bukit Jong, Sungai Ikan, Gemuruh, Ladang Sentosa, Padang Nenas, Lingai, Bukit Wan, Maras, Bukit Berangan, Batu Rakit, Alur Damak, Pagar Besi, Mengabang Telipot, Mengabang Telong dan Wakaf Tengah.

POPULAR

KOSMO! TERKINI