PETALING JAYA: Komitmen dan ketidakadilan syarikat p-hailing menjadi punca penghantar makanan sering melanggar kesalahan trafik.
Timbalan Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, syarikat berkenaan dilihat mengambil kesempatan terhadap penunggang p-hailing dengan menurunkan upah penghantaran dan meletakkan jarak penghantaran yang tidak berpatutan sama sekali.
“Sesetengah syarikat penghantar makanan merasakan mereka ‘king’ kerana ramai orang hilang pekerjaan dan memilih untuk bekerja bersama mereka tetapi berlaku pula penindasan.
“Kesalahan trafik yg dilakukan rider tetap menjadi satu kesalahan tetapi rider tiada pilihan kerana syarikat penghantar makanan meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang tidak masuk akal. Itu yang harus dijaga oleh rider,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Data polis menunjukkan 250 kemalangan melibatkan penunggang p-hailing sejak 2019 hingga April lalu.
Jumlah itu melibatkan 38 kes kematian, 31 kes cedera parah manakala 181 cedera ringan.
Kata Abdul Hakim, perkara itu sudah dibincangkan dengan sesetengah syarikat penghantar makanan untuk mengkaji semua polisi syarikat dan memperbetul sistem aplikasi mereka.
Beliau menasihati penunggang p-hailing supaya mematuhi peraturan jalan raya dan tidak melakukan perkara yang membahayakan diri, orang awam dan pengguna jalan raya yang lain.
Tambah beliau, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah bergerak untuk memberikan perlindungan kepada penunggang p-hailing di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO yang dikenali sebagai SPS Lindung.
“SKSPS yang dikenali sebagai SPS lindung boleh didapati secara percuma yang boleh memberikan perlindungan sepanjang tempoh bekerja dan beliau juga menggesa supaya berhati-hati ketika memilih insuran perlindungan diri yang lain.” jelasnya. – UTUSAN ONLINE