Komitmen kerajaan-pembangkang dialukan, tetapi perlu tindakan konkrit - IDEAS - Utusan Malaysia

Komitmen kerajaan-pembangkang dialukan, tetapi perlu tindakan konkrit – IDEAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertemu dengan para pemimpin pembangkang.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, usaha rentas parti seperti ini diperlukan ketika Malaysia masih menghadapi krisis kesihatan Covid-19 dan kegawatan terburuk sejak Krisis Kewangan Asia 1997.

Namun, katanya, komitmen itu haruslah disusuli dengan tindakan yang konkrit.

“Parlimen perlu dibuka semula agar usul undi percaya dapat dibentangkan dan pelbagai dasar penting seperti Pelan Pemulihan Negara, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2022 dapat dibahaskan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau percaya, persetujuan antara Perdana Menteri dan para pemimpin pembangkang itu membuka lebih banyak peluang kepada pembaharuan institusi lebih lanjut yang Malaysia amat perlukan.

“Ini termasuk pelaksanaan Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP), pembentangan Rang Undang-undang Pendanaan Politik di Parlimen, pemisahan fungsi Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya, meningkatkan kebebasan SPRM dengan cara menaik taraf menjadi satu badan berperlembagaan, proses pelantikan penjawat awam utama dan pengerusi GLC dilakukan dengan telus dan bebas dan satu badan kehakiman bebas yang diberi kuasa untuk mengadili semua kes rasuah politik,” katanya.

Pada masa sama, Tricia berkata, Malaysia amat memerlukan kepimpinan yang jelas dan kukuh setelah hampir 17 bulan di bawah pentadbiran yang tidak berfungsi serta berterusan berpolitik.

“Para pemimpin harus mengorak langkah dalam mengambil keputusan untuk mengemudi negara ini ke hadapan dalam arah yang betul agar dapat mengembalikan kestabilan sosial dan ekonomi negara.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan taraf unjuran pertumbuhan Malaysia sebanyak 1.8 peratus ketika ekonomi pada tahun ini dijangka berkembang sebanyak 4.7 peratus sahaja. Tinjauan fiskal yang merosot serta ketidaktentuan politik negara membuatkan para pelabur gelisah, malah akan memberi kesukaran kepada Malaysia untuk menutup kekurangan belanjawannya dalam masa terdekat.

“Kini, Malaysia amat memerlukan para pemimpinnya untuk mengenepikan segala perbezaan dan menawarkan kepimpinan yang kukuh dan stabil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN