PETALING JAYA: Akibat di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki bertindak mengugut serta mengacukan gunting terhadap ibunya dalam kejadian di Jalan Pandan Indah di sini pada Isnin lalu.
Kejadian kira-kira pukul 7 petang itu dipercayai berlaku di kediaman mereka apabila wanita berusia 54 tahun itu dikatakan mahu ke dapur sebelum terlihat suspek berada di ruang tamu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada masa itu, suspek berusia 28 tahun dipercayai memegang senjata tajam berupa gunting dan mengacukan kepada pengadu dan mengugut untuk bunuh pengadu dan mendakwa pengadu bukan ibunya.
Katanya, suspek juga telah mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa.
“Wanita yang juga ibu tunggal itu terkejut terus masuk ke dalam bilik dan mengunci bilik disebabkan ketakutan.
“Ketika kejadian berlaku, hanya mangsa, suspek dan anak mangsa berusia sembilan tahun berada di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, susulan itu, pihaknya telah menahan suspek pada pukul 2 petang semalam di lokasi kejadian.
Kata beliau, kejadian dipercayai berpunca daripda suspek masih di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan tidak dapat berfikir dengan baik.
Jelasnya, turut dirampas, turut dirampas semasa serbuah adalah satu bilah gunting kecil berukuran empat inci.
“Semakan mendapati suspek seorang bujang dan mempunyai 14 rekod jenayah lampau dalam pelbagai kesalahan dadah dan kesalahan jenayah.
“Ujian air kencing terhadap suspek dapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 21 Ogos.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952 atas kesalaha memasukkan dadah dalam badan,” katanya.