PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 306 individu ditahan dengan 281 dikompaun manakala 25 lagi direman.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 38 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup di seluruh negara semalam kerana didapati masih ingkar SOP.
“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,806 kilang, 14,016 premis perniagaan, 650 tapak pembinaan dan 179 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai 28 pendatang tanpa izin turut ditahan dan tujuh kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain 909 sekatan jalan raya dijalankan di seluruh negara.
Menyentuh kuarantin wajib, katanya, 846 individu tiba di tanah air semalam, dengan jumlah kumulatif seramai 266,438 sudah diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai tahun lalu.
“Sejumlah 10,217 individu terbabit masih menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” jelas Hishammuddin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 700 peruncit, 150 pemborong dan 33 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,855 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis yang terbabit didapati mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE