JELEBU: Seorang remaja lelaki sanggup mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung bagi membolehkannya membeli gajet dan peralatan bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Mohamad Shafie Mohd. Yussof, 16, dari Kampung Lakai dekat sini memberitahu, dia dan adiknya, Noor Ismawati, 12, kini tinggal bersama ibu saudara selepas ibu mereka meninggal dunia sejak lapan bulan lalu.
Bapanya pula meninggal dunia pada 2014.
“Saya kalau boleh tidak mahu membebankan makcik sebab dia juga terpaksa menjaga nenek dan pakcik yang sedang sakit.
“Hasil daripada kerja-kerja kampung ini dapat juga saya menyimpan dan gunakan untuk perbelanjaan saya dengan adik,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohamad Shafie yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Triang Hilir di sini menambah, dia sudah mula mengambil peluang untuk mencari kerja sampingan sejak berusia 13 tahun.
“Penduduk kampung pun ramai yang memanggil saya membantu jika mereka ada dapat kerja-kerja seperti menebas kebun, mencari hasil hutan dan mencari buah durian.
“Kalau kerja kampung biasanya dapat upah dalam RM30 hingga RM100. Selepas ibu meninggal dunia, mereka kerap memanggil saya untuk menolong,” katanya yang merupakan anak keempat daripada lima orang adik-beradik.
Menurut Mohamad Shafie, kakak dan abangnya bekerja di luar kawasan dan mereka sudah lama tidak berjumpa ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).