KUALA NERUS: Seorang penduduk di Taman Perumahan Gong Badak di sini, cedera ringan pada kaki selepas ditimpa tangki statik ketika membantu orang ramai mengambil bekalan air, empat hari lalu.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu menyebabkan mangsa, Mohd. Fauzi Kassim, 54, terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan keadaan kerani sekolah itu kini beransur pulih daripada kecederaan yang dialami.
Mohd. Fauzi dikatakan bersama anaknya membantu beberapa penduduk taman perumahan berkenaan untuk mengisi air daripada tangki statik sebelum peralatan berkenaan jatuh menimpanya.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu), Burhanudin Hilmi Harun bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa di Kampung Padang Nenas di sini. – UTUSAN ONLINE