ALOR SETAR: Pergolakan politik di peringkat Persekutuan ketika ini tidak langsung menjejaskan mahu pun memberi kesan terhadap kestabilan kerajaan di Kedah.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu malah telah disembah maklumkan beliau kepada Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hari ini.
“Pandemik yang berlaku dalam politik tanah air sekarang ini saya fikir hanya bersempadan di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya saja. Tak masuk sempadan Kedah pun lagi.
“Jadi tiada apa yang hendak saya ulaskan. Saya pun sudah sembah maklum kepada Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin bahawa sebarang keputusan di Persekutuan sama sekali tidak menjejaskan kestabilan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco secara dalam talian di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan UMNO menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), sekali gus secara dasarnya menyebabkan kerajaan hilang majoriti selepas 11 Ahli Parlimen parti itu mengumumkan demikian semalam.
Muhammad Sanusi menambah, proses urus tadbir serta hubungan antara semua parti yang membentuk kerajaan di negeri ini juga kekal baik seperti biasa.
Malah beliau turut mengesahkan bahawa satu-satunya Exco kerajaan negeri dari UMNO iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob, turut menyertai mesyuarat tersebut.
“Insya-Allah, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diputuskan untuk dilangsungkan pada 20 hingga 23 September depan juga akan berlangsung seperti biasa,” katanya.










