Kerajaan hati-hati beri kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap
Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR (met)
[email protected]
PUTRAJAYA: Kerajaan berhati-hati dalam memberikan sebarang kelonggaran kepada individu yang sudah mendapat suntikan imunisasi lengkap susulan penularan varian membimbangkan (VOC) termasuk Delta akhir-akhir ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedar dengan dapatan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) dan laporan dari Singapura berhubung jangkitan varian baharu itu termasuk kepada mereka yang sudah lengkap divaksinasi.
Beliau berkata, menyedari perkara itu, kerajaan tetap menerapkan amalan kawalan kesihatan awam dan kepentingan suntikan imunisasi walaupun Malaysia mencapai imuniti kelompok pada paras tertentu kelak.
“Kemudahan atau kelonggaran untuk mereka yang sudah lengkap vaksin diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.
“Justeru, kita ambil kira perkembangan di seluruh dunia sebelum mengeluarkan sebarang kelonggaran kepada mereka yang sudah lengkap divaksin,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Katanya, adalah amat penting supaya kerajaan tidak membuka sekatan terlalu cepat dan perlu sedar akan penularan varian baharu Covid-19.
Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau melihat program vaksinasi menyeluruh yang dilaksanakan di Labuan dan Sarawak mula menampakkan hasil apabila kadar kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes kematian dapat dikurangkan.
Justeru pihaknya berharap pola kesan sama dapat direkodkan di Kuala Lumpur serta Selangor dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
“Ia selari usaha kerajaan ke arah mengagihkan lebih banyak vaksin secara secepat mungkin bagi penduduk di Lembah Klang, sekali gus memacu matlamat membentuk imuniti kelompok.
“Bagaimanapun, pendekatan berhati-hati masih diambil kerana kita sudah lihat banyak negara yang mencapai liputan pemberian vaksin dalam kalangan penduduk, tetapi sekarang kembali menguatkuasakan pemakaian pelitup muka,” katanya.










