PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembelian tambahan enam juta dos vaksin lagi yang diterima menjelang awal bulan depan.
Perdana Menteri dalam ucapan awam sulungnya berkata, pembelian itu dibuat kerana beliau optimis melalui kejayaan program vaksinasi itu kelak, banyak manfaat diperoleh.
“Ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara. Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah.
“Gambaran ini bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara kita pernah berjaya menurunkan statistik pesakit Covid-19. Ini kerana fakta terkini pada Jumaat, 20 Ogos 2021 membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut,” katanya.
Ismail berkata, ia bukanlah bermakna negara akan bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19.
“Tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang.
“Sehubungan itu, demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, suka saya umumkan pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE