TEMERLOH: Keluarga terdekat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan penduduk Kampung Bukit Tingkat di sini bersyukur anak kelahiran kampung itu dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.
Mereka cukup terharu dengan pelantikan itu dan gembira serta menaruh harapan Ismail Sabri yang dikenali dengan panggilan Pak Su Yie dapat memacu negara dengan lebih cemerlang.
Anak saudara Perdana Menteri, Azhar Mohamad, 56, berkata, sebagai anak bongsu daripada lapan adik beradik, Ismail Sabri begitu berpegang teguh pada ikatan silaturahim kekeluargaan dan setiakawan walaupun berjawatan tinggi dalam kerajaan.
Menurutnya, beliau tetap pulang ke kampung apabila ada kesempatan terutama pada musim perayaan berjumpa sanak saudara dan rakan di sini.
“Ismail Sabri mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangau Temerloh dan Sekolah Menengah Teknik di Kuantan sekitar 1977 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM),” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Bukit Tingkat Temerloh, di sini hari ini.
Azhar berkata, pernah dalam satu peristiwa seorang ahli keluarga terdekat yang dikenali Pak Mat Kelantan yang tinggal di Kampung Paya Banir meramalkan Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri satu ketika nanti.
“Ini berikutan Ismail Sabri pada ketika itu merupakan Ketua Pemuda UMNO Temerloh sangat aktif dalam politik dan berusaha menapak ke arah jawatan tertinggi dalam politik negara,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Bukit Tingkat, Wan Hamizi Wan Kadir, 53, pula berkata, dia optimis Ismail Sabri pilihan terbaik rakyat bagi membawa negara keluar dari pandemik Covid-19 dan ekonomi.
Ketua Kampung Paya Jejawi dan Bukit Tingkat, Saiful Hadi Mohamad pula berkata, pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan sebagai motivasi kepada rakyat khususnya anak muda di negara ini.
“Ini kerana keikhlasan dan kewibawaan anak Bukit Tingkat ini mendapat restu Allah SWT untuk memimpin negara sebagai Perdana Menteri.
“Ketika ini rakyat mahu supaya peluang pekerjaan diperbanyak dan sektor ekonomi serta kemelut politik pelbagai parti dapat dikendurkan,” katanya. – UTUSAN