KUALA LUMPUR : Sering diasak pertanyaan mengenai kekasih hati, penyanyi, Syafiq Farhain, 28, mengaku bukan niatnya untuk menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan orang ramai dan peminat.
Sebaliknya, kata Syafiq, dia lebih selesa jika perkara tersebut tidak menjadi bahan bualan ramai selain enggan berlebih-lebihan dalam mencanang hubungan.
“Ya, saya ada teman wanita. Tapi bukan niat saya nak berahsia atau tak mahu orang tahu diri ada kekasih. Cuma saya suka relaks saja, tak perlu berlebih-lebih.
“Begitu juga kalau saya nak kahwin atau apa. Bagi saya, siapa yang tahu, tahulah. Tak semua orang perlu diberitahu mengenai hal peribadi dan kehidupan saya.
“Tapi tidak pula saya suruh orang yang tahu itu menutup mulut. Saya nak relaks saja,”katanya.
Syafiq berkata demikian ketika ditemui di sidang media secara virtual Mobile Legend : Anonymoz Merdeka Challenge 2021 yang diadakan semalam.
Turut hadir ke sesi tersebut ialah penganjur dan pengasas organisasi E-Sukan tersebut, Muhammad Haikal Mohd Fauzi atau dikenali sebagai Ben Haikal serta penyanyi Apak Harry Khalifah.
Selain itu, menurut anak Allahyarham Saleem ini, dia juga mengaku bahawa kekasihnya itu merupakan wanita biasa dan tidak ada kaitan dengan dunia hiburan.
“Dia wanita biasa saja. Bukan artis, bukan juga pegawai bomba seangkatan dengan saya. Itulah saya cakap, tipulah kalau saya ini tak ada teman wanita bukan.
“Dah tua kerepot macam ini, tak akanlah saya tak ada seseorang di hati,”katanya.
Dalam ada itu, ketika ditanya tentang hubungannya dengan ibu tiri, Julia Bachok dan keluarga sehingga ke hari ini, Syafiq mengandaikan hubungan tersebut sebagai tiada masalah.
“Selepas pemergian arwah, adalah juga krisis keluarga itu sikit-sikit. Seingat saya minggu pertama selepas arwah meninggal dunia.
“Saya anggap habis situ, situlah. Setakat ini, Alhamdulillah tiada masalah dan okey-okey sahaja. Tiada gangguan. Saya pun tak suka stres dengan masalah-masalah ini,”katanya.
Tambah Syafiq lagi, dia juga menyifatkan hubungannya dengan adik-beradik tiri sebagai baik-baik sahaja sementelah sebelum ini ada bertanya khabar meski tidak kerap.
Syafiq merupakan anak Allahyarham Saleem hasil perkongsian hidupnya dengan bekas isteri pertamanya, Juwita.