Keabsahan MB, kerajaan negeri ditentukan pada sidang DUN

Keabsahan MB, kerajaan negeri ditentukan pada sidang DUN

HASNI Mohammad (kanan) sempat bertanya kepada seorang penerima vaksin ketika melawat PPV di Hospital Pakar KPJ Johor, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keabsahan Kerajaan Negeri Johor dan kedudukan Menteri Besar akan ditentukan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula pada 12 Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, persidangan DUN merupakan platform yang sesuai untuk menentukan keabsahan kerajaan negeri termasuk kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri.

Kata beliau, ia termasuk mengenai pendirian parti sama ada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga akan dibuat pada sidang itu nanti.

“Jika kita lihat, Perdana Menteri juga akan tentukan keabsahan beliau di Parlimen sebagaimana yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebagai ketua kerajaan, saya merasakan bahawa perkara yang dibangkitkan ini boleh kita bincangkan di sidang DUN nanti termasuk untuk tentukan keabsahan kerajaan negeri serta keputusan yang dibuat.

“Buat masa ini, tidak ada keperluan buat UMNO atau Barisan Nasional (BN) Johor membuat sebarang keputusan berhubung sokongan terhadap Perdana Menteri. Saya sendiri akan mẹmbuat pendirian terhadap perkara berbangkit ini pada sidang DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hospital Pakar KPJ Johor, di sini hari ini.

Hasni berkata demikian bagi menjawab desakan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang mendesak UMNO Johor menyatakan pendirian parti terhadap kepemimpinan Muhyiddin.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, pihaknya menjunjung tinggi demokrasi di negeri itu dan undang-undang tubuh yang menjadi asas kepada sebarang keputusan yang akan dibuat. 

“Kalau ahli Parlimen yang sudah diberi mandat buat keputusan, saya tidak mahu sentuh pendirian mereka. 

“Namun sebagai ketua kerajaan negeri, saya rasakan bahawa perkara yang dibangkitkan ini boleh dibincangkan di DUN bila kita bersidang untuk menentukan keabsahan kerajaan negeri dengan keputusan yang dibuat,” katanya.

Ujar beliau, dalam keadaan sekarang yang menyaksikan gabungan beberapa parti membentuk kerajaan, kerjasama antara semua wakil rakyat atau ADUN adalah rakan strategik penting dalam membangunkan negeri Johor.

Tambah Hasni, Muhyiddin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dijangka akan hadir pada persidangan DUN nanti yang akan dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN