PETALING JAYA: Seramai 114 ahli Parlimen yang memberi sokongan surat akuan (SD) kepada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri telah ditemu duga seorang demi seorang oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, setiap ahli Parlimen yang menghadap Seri Paduka menyatakan memberi sokongan kepada Ismail Sabri dengan sukarela dan tanpa paksaan.
katanya, itu adalah antara dialog dan perbincangan yang dilontarkan ahli Parlimen semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong sebentar tadi.
“Saya kira ini adalah satu pengalaman yang penting kepada 114 ahli Parlimen yang menyokong Ahli Parlimen Bera itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Semalam, Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mengumpul jumlah surat akuan (SD) tertinggi iaitu dengan 114 sokongan sekali gus mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
Tambah Ahmad, dengan sokongan ketika ini dilihat Ismail Sabri berjaya mendapat sokongan majoriti daripada 114 ahli Parlimen yang menyokong.
Katanya, proses selepas itu ditentukan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.
Ahmad berharap kerajaan seterusnya dapat membela rakyat, menyelesaikan masalah pandemik Covid-19 dan ekonomi.