PETALING JAYA: Kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih mengekalkan jumlah 31 kementerian merangkumi 31 menteri dan 38 timbalan menteri dengan keseluruhan berjumlah 70 orang termasuk Perdana Menteri.
Selain itu, terdapat kementerian masih kekal mempunyai dua timbalan menteri antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, barisan Kabinet itu dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Katanya, bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet berkenaan perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah dan mengembalikan semula keyakinan rakyat. – UTUSAN ONLINE