SHAH ALAM: Komposisi Kabinet dari sudut saiz dan keanggotaan dilihat sama tidak akan memberikan kejayaan signifikan kepada kerajaan apabila perubahan kepimpinan hanya melibatkan pertukaran kementerian.
Justeru, tiada perubahan besar boleh diharapkan dengan pembentukan Kabinet baharu walaupun bertukar Perdana Menteri daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd. Azmi Abdul Hamid, jemaah Kabinet kali ini sepatutnya dianggotai oleh mereka yang berkebolehan memberi fokus kepada menangani pandemik Covid-19 dan agenda pemulihan ekonomi.
“Negara sekarang sedang dalam keadaan kritikal. Jemaah Kabinet sepatutnya dianggotai oleh mereka yang memiliki merit atau kebolehan dalam bidang yang sesuai untuk menggalas tanggungjawab yang sangat mencabar sekarang.
“Rakyat sudah banyak menyatakan rasa tidak puas hati terhadap menteri dan timbalan menteri yang tidak berkesan dalam fungsi mereka berbanding gaji dan elaun yang dibayar mencecah puluhan ribu setiap seorang yang berjawatan menteri dan timbalan menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, adalah satu kegilaan jika melakukan kesilapan sama berkali-kali tetapi inginkan hasil yang berbeza.
Ismail Sabri mengumumkan barisan kabinet di bawah pentadbirannya yang akan mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara pada Isnin ini.
Bagaimanapun, dalam pengumuman itu, beliau masih membariskan nama-nama yang pernah mendapat kritikan terhadap pengurusan pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Mohd. Azmi mendakwa satu kesilapan besar apabila Perdana Menteri masih membariskan pemimpin yang terdahulu dikatakan gagal menangani krisis pandemik, politik dan ekonomi.
“Masalah pandemik ini sangat jelas terlalu mencabar. Pasukan jemaah Kabinet tidak seharusnya berdasarkan pertimbangan politik. Sepatutnya ia berdasarkan kepakaran yang tinggi untuk mencari penyelesaian yang tuntas.
“Kami berpendapat dalam tempuh kerajaan yang singkat ini, jemaah Kabinet yang dibentuk sepatutnya bukan untuk memenuhi tuntutan parti politik atau penyokong yang setia, akan tetapi hendaklah pasukan yang tepat untuk menyelesai musibah pandemik dan membangun semula ekonomi negara yang lesu,” katanya.