KUANTAN: Tiada perubahan dalam Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya apa berlaku pengekalan Kabinet lama dari segi saiz dan beberapa perubahan portfolio menteri serta timbalan menteri.
Walaupun ditampilkan muka baharu, namun tindakan itu adalah tidak selari dengan kemahuan sebahagian besar rakyat yang melihat beberapa individu dalam portfolio lama kerajaan sebelum ini tidak kompeten tetapi masih lagi dikekalkan dalam Kabinet.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, namun beliau percaya Ismail Sabri mempunyai alasan kukuh di atas pelantikan barisan Kabinet baharu tersebut.
“Berkemungkinan ia berkaitan kedudukannya (Perdana Menteri) sebagai orang nombor tiga dalam UMNO menyukarkan perubahan untuk dibuat. Soal kelangsungan parti (UMNO) dan Perikatan Nasional (PN) juga menjadi agenda utama beliau.
“Kemudian saya juga melihat, Kabinet yang ada ini berkemungkinan juga mempunyai perkaitan dengan usaha menjayakan apa yang dirancang ketika di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Ia berkaitan pelaksanaan pemulihan Covid-19 dan ekonomi Malaysia yang masih belum memberikan impak besar di samping penerusan program vaksinasi kebangsaan melalui lantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan menggantikan Datuk Seri Dr. Adham Baba yang bertukar ke jawatan Khairy sebelum ini,” katanya di sini semalam.
Jumaat lalu, Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinet baharu di bawah pimpinannya yang tidak melibatkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau melantik empat menteri kanan iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.
Muhammad Ariff Asyrul berkata, pelantikan sudah pun dibuat dan apa diharapkan portfolio yang dilihat tidak kompeten sebelum ini harus membuktikan mereka layak menerima peluang kedua.
Katanya, Kabinet Ismail Sabri perlu dibuktikan mampu menguruskan Covid-19 dengan kerangka governans baharu dalam usaha melandaikan lekuk Covid-19 serta membangunkan ekonomi negara.
“Dalam masa yang sama, pihak pembangkang harus memainkan peranan lebih efektif dan rasional sebagai ejen semak dan imbang terhadap setiap tindakan Kabinet Ismail Sabri bagi memastikan penumpuan diberikan terhadap menguruskan Covid-19,” katanya.










