Jumlah kematian meningkat 10.1 peratus suku kedua tahun ini - Utusan Malaysia

Jumlah kematian meningkat 10.1 peratus suku kedua tahun ini

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Jumlah kematian di Malaysia bagi suku kedua tahun ini meningkat 10.1 peratus kepada 44,307 orang berbanding 40,241 orang pada suku sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, sejumlah 25,216 kematian adalah lelaki.

Beliau berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 3,898 kematian akibat Covid-19 direkodkan iaitu meningkat 78 kematian berbanding suku sama tahun lalu.

Menurutnya, data juga menunjukkan kematian tertinggi akibat Covid-19 dicatatkan bagi kumpulan umur 65 hingga 69 tahun diikuti kumpulan umur 70-74 tahun.

“Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19 iaitu 1,236 kematian manakala Putrajaya merekodkan kematian terendah iaitu hanya empat kematian.

“Secara keseluruhan, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi bagi suku kedua tahun ini iaitu 6,818 kematian (15.4 peratus) manakala Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 53 kematian (0.1 peratus),” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, jumlah kelahiran hidup bagi suku kedua tahun ini menurun sebanyak 4.4 peratus (111,573 kelahiran), berbanding 116,688 kelahiran bagi suku sama tahun lalu.

Menurutnya, bagi tempoh sama juga, kelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki iaitu 55,881 kelahiran berbanding bayi lelaki (55,692 kelahiran).

“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,389 kelahiran (18.3 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Labuan (390 kelahiran).

“Dijangkakan berlaku peningkatan mendadak kepada bilangan kelahiran susulan daripada perintah kawalan pergerakan semasa Covid-19 tetapi statistik menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Katanya, penurunan bilangan kelahiran itu adalah selari dengan negara lain seperti di Amerika Syarikat, Korea Selatan, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini tidak menjejaskan jangkaan hayat ketika lahir di Malaysia.

“Jangkaan hayat bagi bayi yang lahir pada tahun 2021 secara puratanya dijangka boleh hidup mencecah umur 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding sedekad lalu, 74.3 tahun (2011).

“Perbandingan mengikut jantina menunjukkan secara purata bayi perempuan hidup lebih lama berbanding bayi lelaki dengan peningkatan jangkaan hayat 0.5 tahun berbanding lelaki, 0.4 tahun bagi tempoh 2011 hingga 2021,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN