LANGKAWI: Pelantikan Kabinet baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob wajar dibuat dalam jumlah lebih kecil berbanding kerajaan sebelum ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelantikan Kabinet baharu itu juga perlu diberi keutamaan kepada pemimpin yang berkelayakan dan berkebolehan.
Ini kerana, menurutnya, jumlah Kabinet semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin didapati berlebihan dan tidak menunjukkan prestasi yang baik.
“Saya harap tak berapa besarlah (jumlah Kabinet). Setiap menteri sepatutnya ada kebolehan.
“Kita dapati menteri-menteri Muhyiddin (sebelum ini) tak ada kerja apa pun, tak ada buat kerja, dapat gaji sahaja. Janganlah jadi macam itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program #PulangKeLangkawi di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Langkawi di sini hari ini.
Barisan kabinet Muhyiddin mempunyai seramai 70 orang menteri di bawah 32 portfolio berbeza yang diumumkan pada 9 Mac tahun lalu, menjadikan Kabinet tersebut mempunyai jumlah menteri tertinggi berbanding Perdana Menteri sebelumnya.
Daripada jumlah itu, sebanyak 38 orang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan tujuh kementerian mempunyai dua orang timbalan menteri.
Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Ismail Sabri juga perlu mengelakkan daripada memberi jawatan dalam Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri kepada pemimpin-pemimpin yang digelar ‘Kluster Mahkamah’.
Ditanya mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berpendapat, tiada pemimpin dalam kalangan ahli Parlimen di blok kerajaan layak diangkat bagi jawatan berkenaan.
Tambahnya, pemimpin daripada Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga tidak berkelayakan kerana majoritinya dianggotai oleh golongan yang melompat parti.
“Saya cuma tahu siapa yang tidak patut jadi Timbalan (Perdana Menteri) iaitu Geng Kluster Mahkamah, (kumpulan ini) tidak boleh ada dekat dengan kerajaan pun, sepatutnya mereka diasingkan dan sudah tentu tak boleh jadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ismail Yaacob belum membuat keputusan mengenai pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet yang akan beliau bentuk dalam minggu ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, pada masa ini tidak wajar dilaksanakan undi percaya terhadap Ismail Sabri dilakukan secepat mungkin di Parlimen.
Menurutnya, tindakan tersebut akan memberi kesan kepada imej politik negara di mata dunia luar sekiranya keputusan luar jangkaan seperti Perdana Menteri tidak menerima sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat diperoleh selepas undi percaya itu.
“Saya tak fikir, kita tak nak tukar lagi sekali Perdana Menteri. Jadi kalau pergi ke Parlimen, dia tak dapat majoriti, kena tukar lain. Jadi dunia sedang ketawa,” katanya.










