KLANG: Proses mandi dan tayamum tidak lagi perlu dilakukan sekiranya pihak Kementerian Kesihatan di hospital memaklumkan jenazah mangsa Covid-19 berisiko menyebabkan jangkitan kepada orang lain sekiranya proses itu dilakukan.
Perkara itu dimaklumkan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Ophir yang memberitahu satu fatwa baharu diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengenai pengurusan jenazah Covid-19 di negeri ini.
Beliau berkata, jenazah boleh sahaja terus dikafan dan disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
“Sekiranya hospital di bahagian forensik menyatakan ada risiko untuk memandikan jenazah dan tayamum secara fizikal, maka tidak perlu lagi ditayamum atas beg jenazah itu, sudah tidak perlu. Terus sahaja pergi kepada solat selepas dikafan kemudian dikebumikan.
“Kita sebagaimana sedia maklum, mengeluarkan satu keputusan fatwa terbaharu bahawa sekiranya jenazah Covid-19 pada pandangan Kementerian Kesihatan berisiko memandikan jenazah secara fizikal ataupun tayamum secara fizikal maka, gugur kewajipan mandi dan juga tayamum,” katanya.
Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan sumbangan 7,000 set kelengkapan perlindungan diri (PPE) bernilai RM385,000 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada para petugas pengurusan jenazah Covid-19 yang diterima oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Shahzihan Ahmad di Masjid Jamek Al-Rahimiah, di sini semalam yang diserahkan Ketua Pegawai Eskekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.
Dalam pada itu, Shahzihan memaklumkan isu berkaitan pengurusan jenazah Covid-19 sebelum ini terutama berkaitan kewujudan pihak mengenakan bayaran terhadap proses tayamum sudah pun selesai apabila JAIS mengambil alih dan memantau prosesnya.
“JAIS ambil alih keseluruhan di Klang sahaja, di tempat lain beroperasi di bawah pemantauan kita dan semua berjalan dengan lancar. Kubur pun kita sudah tentukan.
“Kita sudah tahu tempat-tempat yang ada masalah dan kita sudah ambil alih. Jadi selesai. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh bekerjasama dengan JAIS, lagi ramai lagi bagus tetapi kena ikut kita punya adab, etika dan cara yang betul,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kewujudan sindiket ‘ulat’ menguruskan jenazah Covid-19 yang mengenakan bayaran sehingga RM2,000 kepada waris keluarga sehingga menimbulkan pertikaian pelbagai pihak.
Isu berkenaan timbul walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini mengumumkan pelaksanaan pengebumian jenazah Covid-19 secara berpusat bagi mengurangkan kesesakan di jabatan forensik di hospital seluruh negeri sejak Julai lalu.
Malah, JAIS juga pernah menjelaskan pengurusan tersebut dibuat secara percuma sementara waris pula hanya perlu membayar kos di tanah perkuburan yang jumlahnya antara RM140 hingga RM450, mengikut lokasi.










