JDT terus gah terajui carta Liga Super - Utusan Malaysia

JDT terus gah terajui carta Liga Super

PENYERANG Melaka United Giovane Gomes Da Silva (tengah) bersaing dengan dua pemain JDT Corbin-Ong (kiri) bersama Shane Thomas Lowry (kanan) dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini. Foto RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA : Reputasi Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pendahulu liga nyata sukar digugat apabila berjaya menjinakkan Melaka United (MU) menerusi kemenangan tipis 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Penyerang import dari Brazil, Bergson Da Silva menjaringkan gol kemenangan selepas menyempurnakan sepakan penalti seawal minit kedua sekaligus mengukuhkan cengkaman JDT selaku pendahulu Liga Super.

Kemenangan JDT membolehkan pasukan bimbingan Benjamin Mora mengutip 45 mata mengatasi Terengganu FC yang berada di tempat kedua dengan kelebihan 11 mata.

Melaka United yang bermain cemerlang pada tiga perlawanan terdahulu nyata tidak berupaya mengimbangi penguasaan penuh skuad Harimau Selatan dalam perlawanan tersebut.

Pengadil perlawanan Hamdan Awang menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT selepas pertahanan Melaka United Mohd. Akmar Md. Zahir menjatuhkan pemain lawan Gonzalo Cabrera.

Tersentak dengan gol awal JDT itu, anak didik jurulatih Zainal Abidin Hassan cuba mencari gol penyamaan namun gandingan Adriano Narcizo dan Giovane Da Silva sukar menembusi benteng ampuh pelawat.

Pada minit terakhir sebelum babak pertama hendak ditamatkan, pintu gol tuan rumah terselamat apabila rembatan kencang pemain kebangsaan, Safawi Rashid dari luar kotak penalti ditepis keluar penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Tiga minit babak kedua bermula, pintu gol tuan rumah cemas lagi apabila JDT hampir meledakkan jaringan kedua namun sepakan kencang Cabrera melewati palang gol.

Seminit selepas itu, giliran tuan rumah menerusi Sony Norde melakukan rembatan kencang namun tidak menepati sasaran.

Usaha tuan rumah untuk mencari gol penyamaan pada minit ke-86, dikecewakan apabila rembatan kencang Narcizo sekadar melewati palang gol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya