KUALA LUMPUR: Semua pihak dinasihatkan terus kekal dan tenang sambil mendapatkan maklumat sahih berikutan perkembangan politik semasa yang berlaku dalam negara ketika ini.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya rakyat termasuk ahli parti itu tidak terpengaruh dengan fitnah pihak tertentu yang sengaja menimbulkan kekeliruan.
“Saya harap semua ahli parti bertenang, hadapi suasana dengan fikiran lapang. Apa Allah atur adalah yang terbaik.
“Dalam hidup, kita tak tahu apa yang Allah susun untuk kita dan kita yakin bahawa itu yang terbaik,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Jelas Menteri Alam Sekitar dan Air itu lagi, segala apa yang berlaku kini adalah ketetapan Allah namun dirahsiakan kerana manusia perlu berusaha dan akan diberi ganjaran pahala.
Katanya, apa yang penting kini adalah kekalkan kedamaian supaya kestabilan negara dapat diteruskan dengan baik.
“Saya dengan kawan-kawan dalam Pas serta ahli Kabinet lain akan uruskan dengan baik situasi ini supaya kestabilan negara dapat dikekalkan.
“Insya-Allah saya penuh yakin dan percaya pimpinan kita sedang melakukan yang terbaik. Apa yang kita mampu, kita cuba buat, doakan bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE










