Jakim komited bantu usahawan industri halal tempatan - Utusan Malaysia

Jakim komited bantu usahawan industri halal tempatan

ABDUL Aziz Jusoh ketika berucap merasmikan Persidangan Meja Bulat Bersama Agensi Pembimbing Usahawan di Malaysia secara dalam talian hari ini. – IHSAN JAKIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi jaminan pihaknya komited membantu usahawan kecil industri halal negara ini mengembangkan perniagaan.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, usaha itu dijalin melalui kerjasama jabatan agama Islam negeri (JAIN) bagi merancakkan perkembangan industri halal tempatan.

“Ini khususnya melibatkan usahawan bumiputera terutama luar bandar agar mereka juga berpeluang untuk dapat melebarkan sayap bisnes ke ruang lingkup yang lebih luas,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Meja Bulat Bersama Agensi Pembimbing Usahawan di Malaysia secara dalam talian di sini hari ini.

Beliau berkata, kerjasama strategik merentasi banyak pihak itu dapat membantu pembangunan usahawan dan mengenal pasti permasalahan dihadapi mereka.

“Tumpuan utama persidangan ini adalah untuk membangunkan industri kecil dan mikro yang lengkap dengan pakej produk bersama Pensijilan Halal Malaysia (PHM),” jelas Abdul Aziz dalam acara anjuran Bahagian Pengurusan Halal Jakim dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia.

Justeru, menerusi saluran maklumat dan bimbingan yang betul, pihak Jakim berharap dapat merancakkan kemajuan sektor halal lebih positif dan mengangkat PHM di peringkat global.

Pada masa sama, beliau menyeru usahawan agar memanfaatkan perkembangan teknologi maklumat dalam situasi pandemik ketika ini untuk proses latihan atau penilaian pensijilan bagi membolehkan perusahaan itu bergerak menuju era digitalisasi apabila kaedah pengauditan jarak jauh merupakan antara keperluan dalam kebiasaan baharu.

“Agensi pembimbing juga perlu melengkapkan diri dengan segala maklumat bagi memastikan mereka kompeten bantu usahawan mendapatkan pensijilan halal lebih efisien,” jelasnya.

Abdul Aziz turut berpuas hati apabila setakat ini sejumlah 3,117 syarikat bumiputera berjaya menerima PHM dan kekal aktif yang membuktikan kecekapan pemprosesan pendaftaran.

Tambah beliau, banyak permohonan baharu berjaya diurus kurang 30 hari apabila keperluan pensijilan dipenuhi baik, sekali gus menepis persepsi konon urusan itu susah dan lambat, namun usaha akreditasi perlu ditambah baik dalam memastikan produk atau perkhidmatan menepati PHM memacu industri halal jauh merentasi benua.

“Saya yakin, semua yang hadir persidangan ini ada misi dan visi sama dalam memperkasakan komitmen urus tadbir pemerolehan PHM dilaksana dengan lebih berkesan,” tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN