SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat dakwaan pihak yang mengenakan caj pengurusan jenazah Covid-19 di hospital seluruh Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berkenaan isu tersebut membuat laporan kepada jabatan berkenaan supaya siasatan boleh dibuat.
“Saya difahamkan bahawa kes ini (kes kartel) berlaku sebelum 25 Ogos lalu, namun jika berlaku lagi, saya minta semua pihak salurkan maklumat kepada JAIS.
“Saya ambil serius mengenai hal ini kerana JAIS tidak mengenakan sebarang caj pengurusan jenazah di hospital,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor Ke-14 di Bangunan Annex, di sini hari ini.
Beliau menjawab isu yang dibangkitan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) mengenai kewujudan kartel tersebut yang telah wujud setelah beberapa bulan lalu.
Dalam pada itu, Azmizam mendesak Mohd. Zawawi supaya cepat bertindak menangani kes terbabit memandangkan kartel ini berani mencabar ketetapan yang dibuat JAIS.
“Selain siasat, saya minta Yang Berhormat (YB) untuk menempatkan beberapa anggota JAIS untuk menyaksikan proses pengurusan jenazah Covid-19 di hospital.
“Kita tidak mahu nama JAIS tercemar disebabkan insiden ini,” tegasnya.










