PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan mengesahkan siasatan ke atas aktivis dan artis grafik, Fahmi Reza diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Perkara itu disahkan Abd. Jalil ketika dihubungi Utusan Malaysia.
“Disahkan kes telah di NFA,” katanya ringkas.
Terdahulu, Fahmi dalam satu hantaran memaklumkan tindakan sekumpulan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak menahannya pada April lalu berhubung karyanya #Dengkike melibatkan gambar Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Fahmi dalam hantaran tersebut memaklumkan kes berkenaan telah digugurkan dan perkara itu merupakan satu kemenangan kecil bagi kebebasan bersuara.
“Berita baik dari Bukit Aman! Ingat lagi 20 anggota polis datang tendang pintu rumah aku, tahan aku bawah Akta Hasutan dan lokap aku sebab karya satira #DengkiKe dengan gambar Permaisuri Agong bulan April lalu?
“Hari ni pihak polis beritahu aku kertas siasatan dah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan kes aku diklasifikasi sebagai NFA! No Further Action! Tiada Tindakan Lanjut! Maknanya kes aku sudah digugurkan!
“Satu kemenangan kecil untuk kebebasan bersuara, kebebasan berekspresi dan kebebasan bersatira!
“Kepada Ahli Parlimen Pas yang buat laporan polis terhadap aku sebab karya satira #DengkiKe hari tu, mohon jangan koyak. Lain kali jangan sibuk jadi kaki repot polis, dan hormati kebebasan rakyat untuk berekspresi dengan tanda pagar SatireIsNotACrime,” katanya.
Sebelum ini, pengguna media sosial di Malaysia terkejut setelah Tunku Azizah Aminah menyahaktifkan akaun Instagramnya selepas tanda pagar #DengkiKe sohor kini di Twitter Malaysia.
Tanda pagar itu merujuk kepada komen Permaisuri Agong di akaun Instagramnya, tidak lama sebelum akaun @airtangan_tunkuazizah dinyahaktifkan.
Susulan itu, satu laporan polis dibuat ke atas aktivis dan artis grafik, Fahmi oleh pemimpin Pas kerana didakwa menghina Raja Permaisuri Agong.