Helikopter pendekkan masa bawa vaksin ke kampung Orang Asli - Utusan Malaysia

Helikopter pendekkan masa bawa vaksin ke kampung Orang Asli

ZAINAL Madasin (kanan) bersama pegawai pada program kibarkan Jalur Gemilang di Tunjong, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyediakan dua unit helikopter untuk membantu membawa bekalan vaksin Covid-19 ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, dua helikopter tersebut dipinjamkan unit udara JBPM di Subang bagi membantu Program Mobile Outreach Covid-19 Kementerian Kesihatan.

“Perkara ini sudah mendapat kelulusan daripada jabatan dan dua helikopter terbabit akan digerakkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Dijangkakan operasi ini melibatkan sebanyak 16 pos Orang Asli di sekitar Gua Musang dan urusan mengangkut vaksin akan turut melibatkan kerjasama dengan pihak polis serta petugas kesihatan,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas kempen ‘Kibar Jalur Gemilang’ di pekarangan Ibu JBPM Kelantan di Tunjong.

Zainal berkata, selain meringankan beban petugas Kementerian Kesihatan, inisiatif menggunakan helikopter membawa vaksin masuk ke kawasan pedalaman dapat mempercepat proses vaksinasi dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

“Sebelum ini, bagi memudahkan urusan vaksinasi di kawasan pedalaman, kita menggunakan perkhidmatan tiga bas bomba namun kini kita gunakan perkhidmatan helikopter pula kerana lebih cepat.

“Usaha ini diharap membantu pihak kerajaan negeri Kelantan yang kini sedang sedaya upaya memastikan rakyat mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang bulan Oktober depan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN