Hanya yang divaksin atau telah terima tarikh suntikan dibenar berniaga - MBSP - Utusan Malaysia

Hanya yang divaksin atau telah terima tarikh suntikan dibenar berniaga – MBSP

ROZALI Mohamud menunjukkan Kod QR untuk Program Vaksinasi Peniaga Pasar Awam Bukit Mertajam dan Pasar Awam Sri Rambai yang akan dijalankan secara dua fasa di Pejabat Daerah dan Tanah SPT, Pulau Pinang bermula Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Hanya peniaga yang telah divaksin atau mendaftar dan mendapat tarikh suntikan vaksin dibenarkan berniaga di Pasar Awam Bukit Mertajam dan Pasar Awam Sri Rambai di sini, bermula Sabtu ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, selain pendaftaran yang dibuat melalui aplikasi MySejahtera, pendaftaran menerusi Program Outreach Vaksinasi Peniaga di kedua-dua pasar awam itu juga akan diambil kira dalam hal tersebut.

Ketika ini katanya, Program Outreach Vaksinasi Peniaga itu mula dikembangkan kepada premis-premis perniagaan, medan selera di sekitar pasar-pasar awam berkenaan serta kedai kopi dan makanan lain yang dikenal pasti mempunyai banyak kes positif Covid-19 sebelum ini.

Menurutnya, kedua-dua pasar awam itu diberi tumpuan memandangkan terdapat banyak jangkitan kes Covid-19 dilaporkan di situ khususnya di Pasar Awam Bukit Mertajam yang terpaksa ditutup dua kali sepanjang tahun ini.

“Berdasarkan semakan dan tinjauan (program berkaitan vaksin dalam kalangan peniaga) yang dijalankan MBSP sehingga semalam, didapati kira-kira 18.72 peratus peniaga atau 73 daripada keseluruhan 390 peniaga di Pasar Awam Bukit Mertajam telah memberikan maklum balas berkaitan manakala 64.74 peratus iaitu 90 daripada 139 peniaga di Pasar Awam Sri Rambai juga melakukan perkara sama.

“Pada masa sama, kira-kira 14.29 peratus atau 33 daripada keseluruhan 231 peniaga di Pasar Pagi Taman Sri Rambai juga telah berbuat demikian seperti yang dikehendaki oleh MBSP,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu kata Rozali, MBSP memberi amaran tegas kepada peniaga, penjaja dan pekerja atau pembantu perniagaan di kedua-dua pasar awam yang masih belum memberi maklum balas supaya segera berbuat demikian bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil.

“Mereka (peniaga, penjaja, pekerja dan pembantu perniagaan) boleh membuat pendaftaran di bawah Program Vaksin Peniaga Seberang Perai melalui pautan https://qrgo.page.link/vVy6z atau mengimbas Kod QR yang telah disediakan di dalam infografik Program Vaksin Peniaga Seberang Perai,” jelas beliau.

Tambahnya, program berkenaan akan diadakan secara dua fasa iaitu pada 21 dan 22 Ogos bagi fasa pertama serta 28 dan 29 Ogos untuk fasa kedua di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah dan Tanah, Seberang Perai Tengah (SPT), di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN