Hanya Agong, Raja-Raja Melayu tempat rakyat mengadu

Hanya Agong, Raja-Raja Melayu tempat rakyat mengadu

V. GANABATIRAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyatakan sebagai rakyat Malaysia beliau dan pemimpin PH sentiasa sedar hanya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu satu-satunya tempat mereka mengadu dan mendapatkan keadilan sekiranya kerajaan berlaku tidak adil kepada rakyat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V. Ganabatirau, ini disebabkan Raja-Raja Melayu berada di atas politik dan melindungi hak rakyat jelata tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Cuma menarik sekali untuk melihat reaksi UMNO, Pas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam perkara ini.

“Mereka yang melaungkan Daulat Tuanku kini menjadi senyap. Bayangkan jika penderhakaan ini dibuat oleh kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ganabatirau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor berkata demikian sebagai mengulas isu pada 26 Julai lalu yang mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) – (Bersatu, Pas dan Barisan Nasional (BN)) telah membohongi Dewan Rakyat dengan memaklumkan ordinan-ordinan telah dibatalkan oleh Jemaah Menteri tetapi Istana Negara telah memaklumkan secara rasmi bahawa Yang di-Pertuan Agong belum memberi persetujuan tanpa dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu.

Ini katanya, merupakan satu penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong iaitu dengan sengaja mengelirukan Parlimen.

Ulasnya lagi, Yang di-Pertuan Agong pada masa yang tepat telah membetulkan kronologi peristiwa supaya tiada sesiapa yang akan menyalahkan baginda kelak.

Mengulas lanjut, Ganabatirau yang juga pemimpin DAP berkata, beliau ingin semua pihak mengingati Perhimpunan Menolak Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), iaitu tunjuk perasaan dibuat oleh NGO-NGO Melayu kononnya ICERD akan menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, raja kita akan hilang kuasa dan derhaka raja dilaungkan terhadap kerajaan PH.

Katanya lagi, perkara yang sama turut dilakukan semua pihak tersebut semasa isu ‘Rome Statute’.

“Kalaulah penipuan sebegini dilakukan oleh PH atau Menteri Undang-undang PH, Mendiang Liew Vui Keong, ribuan laporan polis, berpuluh-puluh protes dan ‘banners’ akan muncul serta ribuan petisyen dan memorandum telah disediakan.

“Kenapa kini berdiam? Malah seorang profesor membantah kenyataan Mufti Perlis bahawa Jemaah Menteri tidak perlu mendengar nasihat Jawatankuasa Darurat dan boleh bertindak sendiri.

“Kalau ikutkan logik ini, maka Yang di-Pertuan Agong pun berhak untuk menerima atau menolak nasihat Jemaah Menteri sekiranya ia bercanggah dengan kehendak rakyat atau Perlembagaan,” katanya.

Beliau menambah, sehingga kini, PH tidak pernah menentang Raja-Raja Melayu.

Katanya lagi, PH hanya menentang ketidakadilan, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa tetapi tidak pernah membelakangi prinsip Perlembagaan.

“Kami sentiasa sedar hanya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah satu-satunya tempat kami mengadu dan mendapatkan keadilan sekiranya kerajaan berlaku tidak adil kepada rakyat kerana Raja-Raja Melayu berada di atas politik dan melindungi hak rakyat jelata tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Atas alasan-alasan ini. Saya selaku rakyat Malaysia meminta supaya seluruh jemaah menteri meletak jawatan kerana telah hilang kepercayaan Yang di-Pertuan Agong dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Malaysia katanya lagi, masih negara yang berpegang kepada Kesetiaan Raja dan Negara maka penderhakaan tiada tempat di dalam pentadbiran Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN