KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau tidak mengetahui bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah mengadakan pertemuan dengan seorang pengarah syarikat yang berminat melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.
Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata, Guan Eng tidak memaklumkan pertemuan itu kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMK) pada Januari 2011, sebaliknya hanya menyatakan sebuah syarikat swasta ingin menerokai pembinaan projek tersebut.
Beliau yang ketika itu merupakan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri berkata, bekas Menteri Kewangan itu tidak mendedahkan nama syarikat secara terperinci.
Saksi pendakwaan ketiga yang kini Ketua Seksyen Pengangkutan, Bahagian Perancangan Ekonomi Pulau Pinang menyatakan demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes rasuah terhadap Guan Eng.
Soalan pendakwa raya sama ada Hock Seng mengetahui Guan Eng telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd., Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan berbincang mengenai projek itu di Hotel Shangri-La di sini sebelum MMK bermesyuarat pada Januari 2011.
“Dalam mesyuarat MMK tersebut, beliau (Guan Eng) tidak menyatakan berjumpa atau berunding… tapi cuma menyatakan ada sebuah syarikat hendak terokai pembinaan projek terowong di Pulau Pinang,” katanya.
Hock Seng yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Bagan Jermal selanjutnya memberitahu, Guan Eng telah mengarahkannya menghubungi Zarul Ahmad dan seorang lagi pengarah syarikat selepas MMK bermesyuarat.
Ahli Parlimen Bagan itu menghadapi tuduhan menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn. Bhd.
Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.
Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Guan Eng, 60, turut didakwa terhadap tuduhan pindaan menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Rabu ini. – UTUSAN ONLINE