Gencatan politik fokus bantu rakyat semakin tersepit

Gencatan politik fokus bantu rakyat semakin tersepit

RASMAN Ithnain (dua dari kanan) ketika melawat penduduk terkesan ribut sempena Program Ziarah Sedili Peduli di Felda Bukit Waha, Kota Tinggi, Johor. - FOTO/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pemimpin politik khususnya di Johor disarankan agar tidak terlampau berpolitik pada masa ini sebaliknya kembali fokus membantu rakyat yang semakin dihimpit dengan pelbagai masalah ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi, Rasman Ithnain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili berkata, banyak perkara yang lebih perlu diutamakan berbanding tumpuan diberikan kepada politik.

“Soal situasi politik sekarang kita serahkan kepada pucuk pimpinan kita di Johor, Pengerusi Perhubungan Bersatu Johor yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Seeloknya kita utamakan soal Covid-19 yang melanda tanah air dan Johor sendiri. Banyak isu dihadapi rakyat antaranya tidak mampu bayar rumah, dihalau daripada rumah sewa, kehilangan pekerjaan serta anak-anak tidak dapat ke sekolah.

“Bebanan-benanan seperti ini kita sebagai orang politik perlu jadikan keutamaan untuk membantu,” katanya ketika ditemui selepas melakukan Program Ziarah Sedili Peduli di Felda Bukit Waha, hari ini.

Rasman berkata, ahli politik di negeri ini juga perlulah mengikut saranan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang baru-baru ini menitahkan agar melaksanakan gencatan politik dan memberi keutamaan terhadap krisis kesihatan dan ekonomi yang kini berada di tahap membimbangkan.

“Tambahan pula Tunku Mahkota Johor mengajak semua pemimpin politik supaya melakukan gencatan politik dan beri tumpuan kepada matlamat untuk membantu rakyat. Sebab itu dalam senario politik kini saya lebih tumpu kepada tugas menjalankan amanah menyelesaikan masalah rakyat hadapi untuk kelangsungan kehidupan mereka.

“Saya harap gencatan politik dititahkan Tunku Ismail dapat diikuti semua orang politik di Johor sekali gus kita tidak terlampau berpolitik pada waktu ini,” katanya.

Semalam, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Agong selepas hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat sebelum Seri Paduka Baginda berkenan melantik beliau sebagai Perdana Menteri sementara. 

Sementara itu, tumpuan kini terarah kepada siapa yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan selepas kesemua parti dan gabungan politik tidak memiliki majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN