PETALING JAYA: “Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku sebelum ini iaitu memakan yang kalah. Harus ada satu kekuatan dengan semua parti dengan persefahaman baru”.
Itu penjelasan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas perjumpaan bersama ketua-ketua parti bersama Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Beliau berkata, Seri Paduka memulakan perjumpaan itu dengan titah nasihat bahawa negara ketika ini dalam kemelut politik dan harus bersatu menghadapi malapetaka Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
“Seri Paduka turut memberitahu mengenai lunas-lunas Perlembagaan, mencari calon Perdana Menteri yang dapat majoriti sokongan ahli Parlimen, tetapi politik perlu berubah.
“Isunya bukan sahaja mengenai pelantikan seorang Perdana Menteri baharu, tetapi apa yang penting seperti yang ditekan oleh Seri Paduka dan juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk menggagas suatu bentuk politik baharu yang lebih aman dan nyaman untuk rakyat,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.
Hari ini, ketua-ketua parti tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan pelantikan Perdana Menteri baharu.
Antara yang hadir adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.