PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) enggan mendedahkan nama calon Perdana Menteri yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong susulan tidak dihubungi Pakatan Harapan (PH) untuk berbincang.
Walaupun begitu, Pengerusinya, Abang Johari Tun Openg enggan mendedahkan nama calon Perdana Menteri yang telah dikemukakan gabungan parti itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
Memetik laporan Malay Mail, selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi GPS di Kuching tengah hari ini, Abang Johari berkata hanya Agong boleh menamakan Perdana Menteri.
“Saya tidak dapat mengumumkan nama serta tidak mahu mendahului Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui di Kuching.
Menurut laporan itu, Abang Johari juga telah menyatakan bahawa tiada pemimpin PH yang menghubungi GPS.
Terdahulu, portal Suara Merdeka melaporkan Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, gabungan itu secara prinsipnya menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Kita telah bersetuju secara prinsipnya untuk menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tetapi surat akuan (SD) kami hanya akan dihantar selepas mesyuarat GPS tengah hari ini,” kata Wan Junaidi yang juga anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun telah mengeluarkan surat rasmi kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk menghantar SD kepada Yang di-Pertuan Agong selewat-lewatnya pada pukul 4 petang hari ini.
Hal itu berkenaan pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-9 selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Isnin lalu.










