PONTIAN: Cubaan dua lelaki yang berkhidmat sebagai penghantar atau ‘transporter’ untuk membawa masuk empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini secara haram tidak berhasil apabila kegiatan mereka dihidu pihak keselamatan.
Kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 10 malam tadi di Jalan Parit 1/53, Pantai Telok Kerang, di sini oleh Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam bersama Bahagian D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 5, Superintenden Dimin Awang, kedua-dua lelaki terbabit merupakan warga tempatan berusia 43 dan 44 tahun manakala tiga lelaki dan seorang wanita warganegara asing yang ditahan itu pula berusia antara 29 hingga 46 tahun.
“Hasil siasatan awal ke atas kesemua suspek warga asing, mereka mengaku telah memasuki negara ini melalui jalan tidak diwartakan iaitu di Pantai Telok Kerang.
“Namun hajat tidak kesampaian apabila kehadiran mereka berjaya kami kesan melalui risikan dan maklumat orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Dimin, kesemua warga asing yang baru sahaja mendarat itu akan dibawa ke destinasi masing-masing menggunakan khidmat transporter tersebut.
Jelasnya, wang tunai berjumlah RM924, tiga buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Perodua Viva dan Perodua Nautika yang digunakan oleh sindiket terbabit turut dirampas dalam serbuan itu.
Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah berjumlah RM52,524 dan suspek serta barangan rampasan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bagi tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (a), Akta Atipsom 2007, Seksyen 5 (2) Akta Imigresen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatangan asing tanpa izin (PATI) dijalan yang tidak diwartakan.