Dua penganggur edar dadah ditahan - Utusan Malaysia

Dua penganggur edar dadah ditahan

SEBAHAGIAN dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Alor Setar, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua penganggur yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan di dua tempat berasingan iaitu Kampung Tengah dan Jalan Sungai Karok di sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di Kampung Tengah pada pukul 11.30 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan satu plastik hitam yang mengandungi dua plastik hijau berisi ketulan disyaki dadah jenis heroin.

“Berat keseluruhan dadah yang dirampas itu sebanyak 912 gram dan dianggarkan bernilai kira-kira RM12,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan susulan selepas itu dilakukan di sebuah rumah dua tingkat dan menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di Jalan Sungai Korok pada pukul 12 tengah hari.

Tambahnya, hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik telah menemukan satu uncang kain berwarna hitam yang mengandungi 10 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 11.50 gram bernilai RM800.

“Nilai keseluruhan rampas dadah di dua lokasi tersebut berjumlah RM12,800 dan menyita harta suspek iaitu wang tunai sebanyak RM1,742,” katanya.

Menurutnya, dua suspek itu masing-masing direman selama empat dan enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN