Dua individu rugi RM27,000 diperdaya sindiket Love Scam 

Dua individu rugi RM27,000 diperdaya sindiket Love Scam 

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Dua individu masing-masing seorang lelaki berusia 54 tahun dan wanita 48 tahun di sini kerugian lebih RM27,000 selepas dipercayai diperdaya sindiket Love Scam semalam. 

Kedua-dua mereka menjadi mangsa dalam dua kes berbeza selepas berkenalan dengan individu kononnya dari luar negara menerusi media sosial Facebook baru-baru ini. 

Mangsa lelaki diperdaya selepas berkenalan dengan seorang wanita dari Amerika Syarikat manakala mangsa wanita pula berkenalan dengan seorang lelaki dari Belanda. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kedua-dua mangsa terpedaya dengan taktik sama iaitu suspek memaklumkan telah menghantar hadiah sebagai tanda percintaan. 

“Mangsa kemudian dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan mendakwa hadiah yang mengandungi ribuan wang tunai dolar Amerika Syarikat telah tiba di Malaysia. 

“Mangsa dikehendaki membuat bayaran ke dalam nombor akaun yang diberikan oleh suspek sekiranya ingin menerima barangan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Noorzainy berkata, kedua-dua mangsa yang teruja masing-masing membuat pemindahan  wang sebanyak RM13,790 dan RM13,700 ke dalam nombor akaun yang diberikan suspek tanpa membuat semakan terlebih dahulu. 

Bagaimanapun ujarnya, kedua-dua mangsa mula curiga apabila suspek masih meminta wang tambahan sebelum mereka membuat semakan dengan polis semalam dan mendapati sebenarnya ditipu. 

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Sehubungan itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket yang menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai platform untuk menjalankan kegiatan itu. 

“Orang awam boleh membuat semakan lanjut mengenai individu mencurigakan di pautan, http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau aplikasi Check Scammers CCID di Google Playstore sebelum membuat transaksi online,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN