Doktor pakar diperintah hadir esok perjelas keadaan kesihatan Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Doktor pakar diperintah hadir esok perjelas keadaan kesihatan Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan esok bagi mendengar penjelasan seorang doktor pakar sebuah hospital swasta berhubung keadaan kesihatan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ekoran ketidakhadirannya pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, hari ini.

Sehubungan itu, sapina dikeluarkan terhadap Pakar Perunding Sakit Intervensi, Hospital Pakar Avisena Shah Alam, Dr. Mohd. Shahir Anuar agar beliau hadir memberi penjelasan berkaitan prosedur yang dijalankan terhadap Ahmad Zahid.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah perlu mengetahui prosedur berkenaan serta tempoh yang diperlukan untuk memastikan tertuduh benar-benar pulih bagi membolehkannya hadir pada prosiding akan datang.

“Mahkamah tidak boleh membenarkan sebarang penangguhan lagi dan akan memanggil doktor berkenaan menjelaskan keadaan kesihatannya serta prosedur yang akan dijalankan,” jelas beliau.

Hakim Collin pada asalnya bercadang untuk mengeluarkan sapina kepada doktor berkenaan dan mengarahkan beliau hadir ke mahkamah pada sebelah petang.

Bagaimanapun, peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan, doktor pakar itu ketika dihubungi sejurus selepas sidang ditangguhkan memberitahu beliau tidak berkelapangan hari ini.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan, Presiden UMNO itu tidak dapat hadir kerana akan menjalani prosedur pada bahagian tulang belakangnya di sebuah hospital swasta.

Menurut peguam bela, Ahmad Zahid mengalami kesakitan akibat terjatuh dan tidak mampu duduk terlalu lama. Beliau dimasukkan ke wad sejak Ahad lalu.

Beliau turut memaklumkan, pihak pembelaan mempunyai empat bahagian penghujahan yang mana salah satunya melibatkan isu-isu perlembagaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, pihaknya dimaklumkan melalui surat berhubung ketidakhadiran Ahmad Zahid pagi ini.

Bagaimanapun jelasnya, surat itu tidak menyatakan bahawa tertuduh bersetuju prosiding penghujahan dijalankan tanpa kehadirannya.

Raja Rozela berkata, jika penghujahan berlangsung tanpa kehadiran Ahmad Zahid, dikhuatiri akan memperlihatkan seolah-olah haknya selaku tertuduh dinafikan.

Beliau turut membayangkan jika perbicaraan diteruskan, mungkin prosiding boleh diakses secara maya demi berlaku adil kepada tertuduh.

Namun Hakim Collin berpendapat, Seksyen 264 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan kehadiran tertuduh perlu bagi mengelak wujud situasi yang membawa kepada perbicaraan yang tidak sah.

Sehubungan itu, beliau berpendapat adalah lebih baik tertuduh hadir bagi membolehkan beliau mengeluarkan arahan kepada peguam jika terdapat sebarang isu berbangkit.

Prosiding selanjutnya ditetapkan pada 6 September ini.

Mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan kes Ahmad Zahid, 68, yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya