PORT DICKSON: Seorang wanita kerugian RM5,350 selepas ditipu oleh individu yang menyamar sebagai majikannya melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa berusia 49 tahun yang merupakan seorang pekerja am telah membuat laporan polis pada Sabtu lalu berkenaan penipuan tersebut.
“Mangsa menerima mesej WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali menggunakan gambar profil majikannya.
“Mangsa dimaklumkan ia adalah nombor telefon yang baharu kerana telefon lama mempunyai masalah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, suspek kemudiannya meminta pertolongan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun sepupunya dan berjanji akan membuat pembayaran semula esok hari.
“Mangsa dengan niat mahu menolong terus percaya dan membuat dua kali kemasukan wang ke dalam sebuah akaun bank tempatan dengan jumlah keseluruhan RM5,350.
“Selepas itu, suspek masih meminta mangsa untuk memasukkan wang. Mangsa yang mula curiga telah menghubungi majikannya menggunakan nombor telefon di dalam simpanan dan majikan telah menafikan perkara tersebut,” katanya.
Tambah Aidi Sham, pihak polis menegaskan supaya orang ramai tidak mudah percaya dengan mana-mana individu yang menggunakan aplikasi dalam talian dan mengaku sebagai rakan untuk meminjam wang.
“Semak dahulu kesahihan identiti individu tersebut sebelum membuat apa-apa transaksi,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum (10) tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.